Monday, January 12, 2009

Nasib penduduk Palestin 'telur di hujung tanduk' - ICRC

GENEVA 11 Jan. - Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) semalam memberi amaran bahawa nasib penduduk Palestin di Genting Gaza kini ibarat telur di hujung tanduk, setelah keganasan Israel di wilayah Palestin itu masuk minggu ketiga.
ICRC dalam kenyataannya dari sini berkata, mereka yang paling terancam ialah penduduk yang terperangkap dalam zon operasi tentera Israel.
Pertubuhan itu yang terpaksa membataskan operasi bantuannya atas sebab-sebab keselamatan melaporkan bahawa pihaknya menerima puluhan panggilan telefon daripada penduduk yang berada di dalam zon yang tidak boleh dimasuki.
Mereka kini mengalami masalah semakin meruncing untuk membuat perhubungan dengan dunia luar.
"Semalam kami mendapat panggilan daripada sebuah keluarga terdiri daripada 40 orang termasuk 20 kanak-kanak, di sebuah rumah di kawasan Netzarim.
"Mereka memberitahu kami, mereka kehabisan air minum sejak hampir enam hari lalu kerana telaga yang membekalkan air ke rumah mereka rosak dalam serangan Israel," menurut kenyataan yang memetik seorang kakitangan ICRC di Gaza.
Kakitangan itu sendiri tinggal di rumah ibu saudaranya bersama-sama 17 anggota keluarga lain yang meninggalkan kawasan tidak selamat dekat Bandar Gaza.
Menurut ICRC, operasi pertubuhan kemanusiaan bertambah sukar disebabkan pertempuran berterusan selepas Israel dan Hamas menolak resolusi gencatan senjata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
sumber:utusan malaysia online

0 comments: