Monday, March 30, 2009

Angkat sumpah Perdana Menteri baru 3 April....

KUALA LUMPUR 30 Mac - Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah serta Menyimpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang baru dijadual berlangsung di Istana Negara pagi Jumaat ini.

Sumber Istana Negara memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin secara rasmi Khamis ini bagi memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Istiadat penyerahan watikah pelantikan Perdana Menteri yang baru akan dilangsungkan pada pagi Jumaat.

"Sehari sebelumnya, Abdullah dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan secara rasmi pelepasan jawatannya," kata sumber ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Abdullah berkata, proses peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri kepada Najib akan berlaku apabila tiba masanya.

Sebelum ini, Najib yang dipilih sebagai Presiden baru UMNO sekali gus bakal mengambil alih jawatan Perdana Menteri tidak lama lagi berkata, kesanggupan Abdullah melepaskan jawatan melambangkan proses peralihan kuasa berjalan dengan amat tersusun, tertib dan harmoni.

0 comments: